Tuesday 14 May 2013

Betapa aku sukakan hujan.


Hujan mengajak aku berjalan perlahan
Istirehat seketika katanya
Namun ibukota masih akan terjaga
lalu menjadi sibuk dengan tiba-tiba
manusia mula berpusu-pusu menjadi bingit-bingit normal
dan aku ditinggalkan.

Biarlah aku berjalan perlahan dibawah renyai-renyai hujan
menikmati masa yang singkat sama jalan hidup yang beronar
seketika berhenti merenung manusia-manusia bumi
memandang jauh lampu-lampu mobil yang bersimpangan
sambil berteduh di bawah jambatan menunggu menjelangnya petang.

Kabut-kabut awan yang menebal
hujan makin terasa deras, tiada tanda mahu berhenti
ah, aku suka suasana begini
terbayang wajah-wajah kesayangan
terasa semua bimbang aku terbuang pergi dibawa renyai hujan yang jatuh
hilang semua duka,
sampai aku tak mahu ia cepat berlalu.

Perlahan-perlahanlah wahai hujan
ambil masamu, sisakan waktumu untukku barang sejenak
biarkan  aku menunggu disini sendiri
sambil memerhati pelangi yang bakal muncul.